Thursday, March 19, 2009

Kempen Melesenkan Pelajar

LOR SETAR 18 Mac - Pelajar-pelajar sekolah berumur 16 dan 17 tahun di negeri ini berpeluang mendapatkan lesen motosikal dengan kadar bayaran hanya RM250 sempena kempen melesenkan pelajar oleh Jabatan Keselamatan Jalan Raya Kedah (JKJR) mulai Jun ini.

Pengarahnya, M. Surentharan berkata, kempen itu akan dijalankan selama tiga bulan dan dijangka berakhir pada Ogos ini.

"Sebanyak 13 institut memandu di negeri ini bersetuju untuk memberi diskaun kepada para pelajar yang berminat untuk mengambil lesen motosikal," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurutnya, kempen itu dijalankan memandangkan JKJR mendapati banyak pelajar yang menunggang motosikal tanpa lesen dan menunggang secara merbahaya.

"Dengan kempen dan diskaun harga yang ditawarkan, kami berharap ramai pelajar akan merebut peluang ini untuk mendapatkan lesen dan mempelajari undang-undang jalan raya," jelasnya.

Tambah beliau, walaupun kadar bayaran lesen yang ditawarkan kepada pelajar dianggap murah, namun mereka perlu mengikuti kursus undang-undang serta latihan amali seperti yang ditetapkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

"Hanya harga yang dikurangkan daripada RM400 kepada RM250, namun syarat-syarat untuk lulus, sama seperti yang telah ditetapkan.

"Jika kempen ini berjaya dan mendapat sambutan, pihak kami mungkin akan memanjangkan tempohnya kepada enam bulan pada masa akan datang," katanya.

sumber dari Utusan Malaysia

No comments: